15,000 anggota sukarelawan APM carum Perkeso

15,000 anggota sukarelawan APM carum Perkeso

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Kira-kira 15,000 anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang aktif di seluruh negara mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, berkata caruman itu dibuat untuk anggota sukarelawan yang aktif bersama pasukan berkenaan.

Menurutnya, ketika ini syarat utama untuk anggota sukarelawan yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi adalah caruman Perkeso, dan dalam masa sama, pihaknya menggalakkan anggota pasukan berkenaan turut mempunyai caruman insurans sendiri.

“Seramai 15,000 anggota yang aktif memang kita carumkan, dan setiap tahun kita akan lihat serta semak semula. Katakan kalau dia (anggota) tidak aktif, kita gantikan dengan anggota baharu (untuk caruman).

“Kita turut galakkan anggota mengambil insurans. Kita nak dua (perkara), maknanya insurans pun dia kena ada dan juga Perkeso, jadi ini ada kelebihannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Kali Ke-73, Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Perdana Bersama Warga APM di Ibu Pejabat Pertahanan Awam, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Mengulas lanjut, Aminurrahim berkata, dua elemen itu penting untuk menjaga kebajikan anggota pasukan yang turut berdepan ancaman bahaya ketika melakukan operasi dan bertugas di lapangan.

“Ini kerana mereka juga terdedah kepada bahaya, tetapi dengan adanya caruman Perkeso, ia dapat meringankan beban anggota (jika berlaku sebarang kemalangan ketika bertugas),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota sukarelawan APM yang kini berkerusi roda selepas insiden dipatuk ular katam payung ketika bertugas menerima manfaat bulanan Perkeso di bawah Skim SPS Madani sejak bercuti sakit lebih sebulan lalu.

Dalam pada itu, Aminurrahim berkata, pihaknya mengenang sejarah perjuangan dan pengorbanan anggota pertahanan awam dalam menjaga kesejahteraan orang awam serta harta benda sempena ulang tahun ke-73 APM.

Katanya, sejak penubuhannya pada 1952, APM terus berkembang menjadi sebuah organisasi yang cekap, dinamik, dan profesional dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan serta bencana alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top