150 penuntut UiTM sertai kolokium

150 penuntut UiTM sertai kolokium

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 150 mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka menyertai Kolokium Kritikan Media: Kuasa Pena dan Kemanusiaan bertujuan mengukuhkan solidariti terhadap isu pergolakan di negara bergolak serta peranan media dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan.

Program anjuran Kelab Kewartawanan Mahasiswa itu menampilkan wartawan Syed Azwan Syed Ali, sebagai panel utama.

Beliau berkongsi pengalaman berharga ketika membuat liputan di kawasan konflik seperti Syria, Palestin dan Afghanistan, selain membincangkan cabaran serta keperluan etika dan integriti dalam profesion kewartawanan.

Menurut Syed Azwan, kewartawanan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi juga memberi suara kepada golongan tertindas.

“Sebagai wartawan, tanggungjawab kita bukan hanya melaporkan, tetapi memastikan kebenaran sampai kepada masyarakat dunia.

“Kuasa pena adalah alat penting untuk membawa perubahan sosial,” katanya.

Kolokium ini turut membuka ruang interaksi melalui sesi soal jawab, di mana mahasiswa bertanya soalan berkaitan keselamatan wartawan, etika kewartawanan dan cabaran menangani tekanan politik.

Perbincangan yang berlangsung secara terbuka itu berjaya menarik perhatian peserta terhadap realiti kewartawanan.

Seorang peserta, Nur Iman Syuhada berkata program ini membuka matanya mengenai betapa pentingnya peranan wartawan dalam menyuarakan isu-isu kemanusiaan.

“Saya sangat terinspirasi dengan pengalaman sebenar di lapangan yang dikongsikan ini.

“Ia memberi saya kesedaran mengenai kuasa wartawan dalam memberi kesedaran kepada dunia,” katanya.

Bagi Muhammad Danish Hakim, mahasiswa komunikasi yang bercita-cita menjadi wartawan, program ini memberi pemahaman mendalam mengenai cabaran dan tanggungjawab profesion itu.

“Saya belajar bahawa menjadi wartawan memerlukan keberanian, dedikasi, dan komitmen yang tinggi untuk memastikan suara mereka yang tertindas dapat didengar,” katanya.

Sementara itu, penasihat program, Shafezah Abdul Wahab, menyifatkan kolokium ini sebagai satu platform penting untuk mahasiswa memahami realiti dunia kewartawanan yang penuh cabaran, terutama dalam menangani isu global.

“Kolokium seperti ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami peranan wartawan sebagai pembela isu-isu kemanusiaan.

“Dengan pencerahan daripada wartawan berpengalaman, mereka dapat memahami cabaran serta kepentingan etika dalam profesion ini,” katanya.

Beliau juga berharap program seumpama ini dapat diteruskan untuk membentuk mahasiswa yang lebih peka terhadap isu global.

“Saya berharap program ini bukan sahaja memberi inspirasi tetapi juga mencetuskan kesedaran mahasiswa untuk menjadi penyampai berita yang bertanggungjawab.

“Ia mendidik mereka pentingnya kewartawanan kritis dalam membentuk persepsi masyarakat.

“Kolokium ini membuktikan peranan media sebagai ejen perubahan sosial dan menjadi medium penting dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Recent Posts

Scroll to Top