Kuala Lumpur: Seramai 15 warga asing dan dua warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pada serbuan ke atas premis sektor runcit dan restoran disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah di Brickfields, malam tadi.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pada operasi bermula 9 malam, 47 individu diperiksa dan 15 daripadanya ditahan membabitkan 13 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan berusia 20 hingga 50 tahun.
“Seorang daripada warga Bangladesh yang ditahan dipercayai majikan kepada pekerja asing terbabit, dia turut disiasat bersama suami isteri warga tempatan kerana dipercayai melindungi pekerja asing.
“Siasatan lanjut mendapati, pekerja asing terbabit melakukan kesalahan menggunakan pas lawatan kerja sementara dan berada di premis terbabit tanpa dokumen pengenalan diri sah,” katanya kepada media selepas operasi.
Beliau berkata, ketika serbuan, warga asing terbabit cuba menyamar sebagai pelanggan di premis berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Wan Mohammed Saupee berkata, sebuah daripada premis terbabit dilengkapi kemudahan seperti asrama di belakang premis, dipercayai digunakan untuk menempatkan pekerja asing.
“Permit pekerja asing yang ditahan kebanyakannya untuk bekerja dalam sektor pembangunan, namun majikan menggajikan mereka antara RM50 hingga RM100 sehari untuk bekerja sebagai juruwang, tukang sembelih, tukang masak dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, majikan disiasat kerana melindungi pekerja asing tanpa kebenaran yang sah mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.-Bernama
© New Straits Times Press (M) Bhd