
Sebastien Lecornu Foto AFP
MOSCOW – Kira-kira 15 negara menyatakan kesediaan untuk menyertai inisiatif bagi memberikan jaminan keselamatan kepada Ukraine, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik Menteri Pertahanan Perancis, Sebastien Lecornu.
“Kami telah merumuskan hasil mesyuarat pertama beberapa ketua staf am negara sukarela, yang membincangkan bentuk jaminan keselamatan yang boleh diberikan kepada Ukraine… Pada masa ini, kira-kira 15 negara menunjukkan minat untuk meneruskan proses ini,” kata Lecornu pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Poland, Itali dan United Kingdom pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa “jaminan keselamatan pertama” tetap bergantung kepada tentera Ukraine sendiri, justeru “isu bantuan kepada Ukraine dan penggunaan aset Rusia yang dibekukan” terus menjadi topik perbincangan aktif.
Pada Selasa, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan pertemuan dengan ketua staf am negara-negara Kesatuan Eropah, serta Turkiye, Kanada dan United Kingdom, bagi membincangkan, antara lain, kemungkinan penempatan tentera di Ukraine selepas perjanjian damai antara Moscow dan Kyiv. Susulan itu, Macron menggesa para peserta mesyuarat untuk merangka pelan jaminan keselamatan bagi Ukraine.
– Bernama-Sputnik/RIA NOVOSTI