14 pelajar dimasukkan ke hospital selepas makan kerepek paling pedas

14 pelajar dimasukkan ke hospital selepas makan kerepek paling pedas

TOKYO – Seramai 14 pelajar sekolah menengah di Tokyo dimasukkan ke hospital selepas makan kerepek kentang “sangat pedas”.

Kira-kira 30 pelajar memakan snek berapi itu selepas salah seorang daripada mereka membawanya ke sekolah pada Selasa, lapor media Jepun.

Tidak lama kemudian, sebahagian daripada mereka mula mengadu loya dan sakit akut di sekitar mulut mereka, menyebabkan panggilan kecemasan kepada pihak bomba dan polis.

Menurut laporan tersebut, 13 kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki yang dibawa ke hospital dalam keadaan sedar dan dilaporkan mengalami simptom kecil.

Syarikat yang membuat snek itu, Isoyama Corp, mengeluarkan kenyataan, memohon maaf atas “sebarang kesulitan” kepada pelanggan, dan mendoakan para pelajar itu cepat sembuh.

Laman web syarikat berkenaan ada  memaparkan amaran bagi mereka yang ingin mencuba kerepek tersebut.

Melalui amaran itu, syarikat berkenaan “melarang” mereka yang berumur di bawah 18 tahun daripada memakan kerepek yang dipanggil “kerepek kari R 18+” kerana betapa pedasnya rasa makanan ringan itu.

Ia turut memberi amaran kepada mereka yang menggemari makanan pedas untuk “makan dengan berhati-hati”.

“Kerepek “sangat pedas sehingga boleh menyebabkan anda sakit”, katanya.

Makanan itu menggunakan “cili hantu” atau kenali sebagai bhut jolokia yang ditanam di timur laut India.

Walaupun ia digunakan dalam resipi di India dan tempat lain, ia dikenali sebagai antara cili paling pedas di dunia.

Firma Jepun itu telah menasihatkan orang ramai supaya tidak “makan kerepek ketika mereka bersendirian” dan mengatakan mereka yang memakannya boleh cirit-birit jika makan secara “berlebihan”.

Mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan perut lemah dilarang sama sekali daripada memakan kerepek, menurut laman web syarikat itu.

Bahkan, ia memberi amaran kepada orang yang mengalami luka di jari mereka supaya berhati-hati semasa membuka bungkusannya.

Mereka yang “penakut atau terlalu takut” juga tidak digalakkan mencuba makanan ringan itu. – Agensi