14 kes kematian hari keempat Op Selamat 21

14 kes kematian hari keempat Op Selamat 21

KUALA LUMPUR: Hari keempat Op Selamat 21 sempena sambutan Tahun Baharu Cina merekodkan 14 kes kematian akibat kemalangan maut di seluruh negara, semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam kenyataan menunjukkan sebanyak 1,203 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara.

“Ia membabitkan 1,480 kenderaan bagi hari keempat Op Selamat 21,” katanya. 

Op Selamat 21 dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis lalu sehingga esok sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Polis turut menjalin kerjasama dengan rakan kolaborasi strategik Plus Malaysia Berhad (Plus), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Semalam, kira-kira 6.65 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lalu ekoran perayaan Tahun Baharu Cina 2024. 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, secara keseluruhan sebanyak 5.78 juta kenderaan menggunakan Lebuh Raya PLUS menghala ke utara dan selatan serta timur dengan purata 1.92 juta kenderaan dalam satu masa.

Katanya, selain itu, Lebuh Raya Karak arah Pantai Timur merekodkan sebanyak 886,106 kenderaan dengan purata 295,369 kenderaan pada satu masa. – UTUSAN