anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas lebih sedekad berdepan konflik perang, Syria kekal sebagai negara yang berdepan krisis pelarian terbesar di dunia.
Sejak 2011, lebih 14 juta rakyat Syria terpaksa meninggalkan rumah dan kampung halaman untuk mencari perlindungan sebagai pelarian di Iraq, Jordan, Lubnan, Mesir dan Turki.
Malah sehingga kini lebih 7.2 juta rakyat Syria masih kehilangan tinggal di negara sendiri apabila 70 peratus penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan dan 90 peratus hidup di bawah garis kemiskinan.
Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, tindakan bekas pemerintah Syria Bashar al-Assad, melakukan jenayah serius semasa perang saudara di Syria bermula 2011 menyebabkan jutaan penduduknya menjadi mangsa dan pelarian.
“Rata-rata penduduk Syria kini hidup daif dan berdepan kemiskinan tegar selepas tamatnya pemerintahan Bashar.
“Menyedari kepayahan dihadapi ini, MCM bersama rakan strategik lain akan berlepas ke Syria bagi menjayakan misi Malaysia Aid 2 Syria hujung minggu ini,” katanya semalam.
Menurutnya, MCM meletakkan sasaran RM1 juta bagi menyempurnakan misi kemanusiaan di empat lokasi bantuan iaitu Damsyik, Aleppo, Homs dan Hama di Syria.
“Kami akan menghantar bantuan ubat-ubatan, pakaian musim sejuk, bahan asas makanan kering dan gandum selain bahan api.
“Selain itu misi kami turut disertai dua doktor pakar yang akan memberikan rawatan percuma sepanjang misi kemanusiaan ini,” katanya.
Beliau berkata, misi itu turut mendapat kerjasama membabitkan Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Cinta Gaza (CGM), Surau Al Muhsinin Petronas, Richiamo Coffee, Harmoni Prihatin Malaysia, PPIM, Klinik Zenmed dan artis, Wan Sharmila.
“Sasaran misi kemanusiaan itu bagi menyalurkan sebanyak mungkin sumbangan kepada pelarian dan rakyat Syria hasil daripada dana disalurkan rakyat Malaysia.
“Difahamkan Amman, Jordan menempatkan kira-kira 1.3 juta rakyat Syria yang melarikan diri sejak perang saudara tercetus pada 2011.
Pelarian perang ini didapati mula kembali ke tanah air mereka selepas konflik lebih sedekad itu berakhir,” katanya.
Beliau berkata, sejak pelancaran misi Malaysia AIDS2SYIRIA dilakukan 4 Januari lalu, pihaknya sudah berjaya mengutip dana sebanyak RM720,000. Jumlah ini hampir mencapai sasaran RM1 juta ditetapkan.
Bagi rakyat Malaysia yang ingin turut serta melaksanakan misi sumbangan ini boleh menyalurkannya ke akaun Muslim Care Malaysia 564490413882 (Maybank) dengan rujukan ‘AID2SYRIA’.
© New Straits Times Press (M) Bhd