14 individu terlibat gaduh di PPR Batu Muda ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan 14 lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jinjang, dekat sini semalam.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Sentul selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11 malam. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan sekumpulan lelaki yang merakam video pertengkaran suami isteri yang tinggal di flat berkenaan.

Katanya, tindakan individu tersebut merakam video itu disedari individu lain yang menegur perbuatan berkenaan, namun teguran itu berakhir dengan pertengkaran termasuk mengeluarkan kata-kata kesat, tolak-menolak serta pergelutan.

“Seramai 10 daripada 14 suspek direman selama empat hari manakala empat lagi direman satu hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

“Semakan dilakukan mendapati 11 daripada 14 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah, manakala empat lagi tiada sebarang rekod,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Eng Lai berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga kesejahteraan serta keharmonian kaum.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206,” ujarnya. 

Terdahulu, beberapa rakaman video yang menunjukkan beberapa individu yang menendang pintu rumah serta merosakkan cermin tingkap di sebuah blok di PPR Batu Muda, Jinjang tular dalam media sosial. – UTUSAN