134 pangkalan haram di Rantau Panjang-Sungai Golok ditutup

134 pangkalan haram di Rantau Panjang-Sungai Golok ditutup

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 134 pangkalan haram di kawasan sempadan yang berisiko tinggi di Rantau Panjang-Sungai Golok ditutup, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq juga dikerahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

“Selain itu, pasukan Polis Marin (PPM) dan PGA juga memainkan peranan besar dalam mengawasi kawasan sempadan yang berisiko tinggi.

“Kawalan sempadan negara adalah satu aspek penting dalam keselamatan. Kita mengambil pendekatan ‘Omnipresence’ bagi memastikan kehadiran anggota di lokasi strategik seperti di masuk utama (contohnya Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Kalimantan),” katanya pada sidang media pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi keselamatan sempadan maritim, pemantauan sepanjang masa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Ops Pagar Laut untuk mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati), penyeludupan dadah, dan jenayah rentas sempadan.

“Kawalan sempadan juga turut membabitkan pengawasan laluan pantai dan batu nautika, yang dikendalikan oleh PPM dengan kerjasama pihak berkuasa negeri dan kerajaan Kelantan.

“Ini membuktikan kesiapsiagaan tertinggi pasukan Polis, termasuk pada musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-10 sebagai negara paling aman di dunia daripada 163 negara yang dinilai berdasarkan pelbagai indikator keselamatan.

“Penilaian menggunakan Global Peace Index (GPI) sebagai kayu ukur yang diterima di peringkat antarabangsa. Pada tahun 2023, kita berada di kedudukan ke-19 secara keseluruhan.

“Satu lagi indikator yang kita gunakan adalah kedudukan Malaysia dalam Tier 2 bagi memerangi pemerdagangan manusia. Penilaian ini dilakukan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, kerana jenayah pemerdagangan manusia dianggap sebagai salah satu jenayah yang diberi perhatian tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top