Johannesburg: Siklon Chido membunuh 13 orang di Malawi selepas memusnahkan kepulauan Mayotte milik Perancis dan melanda Mozambique, kata agensi pengurusan bencana negara selatan Afrika itu pada Rabu.
Walaupun melemah selepas bergerak lebih 500 kilometer ke pedalaman, taufan itu turut mencederakan hampir 30 orang dan menjejaskan kira-kira 45,000 ketika melalui Malawi pada Isnin.
Ia melanda Blantyre, bandar kedua terbesar di negara itu dengan populasi 800,000 orang.
“Daripada 10,159 isi rumah yang terjejas, 227 orang kehilangan tempat tinggal,” kata Jabatan Hal Ehwal Pengurusan Bencana Malawi.
Malawi adalah salah satu negara termiskin di dunia dengan 71 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan tegar, menurut Bank Dunia.
Siklon Chido membunuh 31 orang dan mencederakan lebih 1,000 orang di Mayotte yang juga wilayah milik Perancis di Lautan Hindi, menurut anggaran pihak berkuasa pada Rabu.
Di Mozambique, Chido turut menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 45 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain, menurut laporan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu.
© New Straits Times Press (M) Bhd