13 cedera gempa bumi gegar barat Afghanistan

13 cedera gempa bumi gegar barat Afghanistan

HERAT, Afghanistan – Satu gempa bumi baharu menggegarkan wilayah Herat di barat Afghanistan pada Sabtu malam mengakibatkan seramai 13 orang cedera, lapor Xinhua.

Menurut data Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa dengan magnitud 5.0 berlaku pada 11.57 malam waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km) di Herat.

Selain itu pada 9.20 pagi Ahad, satu lagi gempa bumi berukuran 4.8 magnitud menggegarkan wilayah berkenaan.

Ketua hospital wilayah Herat, Noor Gul Walizada mengesahkan kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital.

Menurut penduduk tempatan, gempa bumi juga menyebabkan kerosakan harta benda.

Sejak 7 Oktober, beberapa gempa bumi telah melanda wilayah Herat, Badghis dan Farah yang menyebabkan ribuan kematian selain memusnahkan ribuan kediaman. – Bernama-Xinhua

Scroll to Top