12 penuntut IPT direman, bantu siasatan kes pukul bergilir-gilir guna objek tumpul

12 penuntut IPT direman, bantu siasatan kes pukul bergilir-gilir guna objek tumpul

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Polis menahan 12 penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir menggunakan objek tumpul di sebuah kolej kediaman, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kesemua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 22 tahun ditahan di IPT berkenaan jam 6 petang semalam.

Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan polis dibuat bapa mangsa semalam yang mendakwa anak lelakinya berusia 20 tahun dipukul secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar di kolej kediaman antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada Ahad lalu.

“Mangsa menghantar beberapa keping gambar yang menunjukkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan melalui telefon kepada bapanya yang berada di Melaka pada jam 10.50 malam pada Ahad.

“Bapa mangsa tiba di Kuala Terengganu kelmarin dan membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan sebelum ditahan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Wan Mohd Zaki berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul menggunakan objek tumpul pada lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki kanan.

Katanya, pihaknya turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Semua suspek dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman dan mereka direman selama empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top