KUALA LUMPUR: Sebanyak 109 pemaju tidak layak memohon lesen baharu kerana disenarai hitam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ekoran tidak mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah itu juga sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi kepentingan pembeli rumah.
Katanya, pada tahun ini sahaja, Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 471 notis dengan denda berjumlah RM9.03 juta dan 56 kompaun dengan denda berjumlah RM1.25 juta.
“Tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju ini memberi mesej yang jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan. Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah dan memastikan mereka menerima rumah yang mereka layak.
“Keselamatan pembeli rumah kekal sebagai antara keutamaan kementerian. Pemaju perlu mematuhi peraturan bagi memastikan projek mereka disiapkan mengikut masa dan mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Kor Ming, majoriti pelanggaran yang dilakukan pemaju adalah melibatkan kegagalan untuk mengemukakan laporan status pembangunan.
Kata beliau, ia turut serta kegagalan pemaju untuk mengemukakan laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.
“Akibat daripada senarai hitam ini, pemaju-pemaju yang terlibat tidak akan layak untuk memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda yang tertunggak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menggalakkan pembeli rumah untuk menyemak status lesen pemaju di laman web rasmi Teduh sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi melakukan keputusan yang bijak ketika membeli hartanah.
“Kami komited untuk menegakkan pematuhan peraturan bagi melindungi hak pembeli rumah dan memastikan pasaran perumahan yang adil dan telus untuk semua,” katanya. – UTUSAN