100 peluru zaman perang disyaki dicuri ditemukan dalam kapal China

100 peluru zaman perang disyaki dicuri ditemukan dalam kapal China

KOTA TINGGI: Kira-kira 100 butir peluru zaman Perang Dunia Kedua ditemukan dalam sebuah kapal pengangkut dari China yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Laut Malaysia berjaya menemukan kesemua peluru yang dipercayai masih aktif.

“Penemuan peluru-peluru melibatkan kerjasama antara agensi terlibat ini dilakukan ekoran penemuan peluru meriam di atas kapal terbabit yang disyaki pada zaman Perang Dunia Kedua. 

“Operasi yang bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 petang melibatkan dua buah aset Maritim Malaysia bersama 15 pegawai dan anggota, 12 anggota unit Pemusnah Bom IPK Johor, tujuh anggota Jabatan Warisan Negara dan seorang anggota Jabatan Laut Malaysia. 

“Kesemua peluru pelbagai saiz yang ditemukan telah diambil dan dibawa oleh Unit Pemusnah Bom PDRM untuk dimusnahkan. Laporan lanjut berkaitan penemuan ini akan dikeluarkan oleh pihak PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Maritim Malaysia tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar di Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti mencuri bangkai kapal perang

lama British di perairan Pahang.

Terdahulu media melaporkan sebuah kapal pengangkut yang berdaftar dari Fuzhou, China yang membawa muatan besi buruk dan peluru meriam lama ditahan selepas bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang.

Kapal berkenaan ditahan pada pukul 12.45 tengah hari oleh anggota Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili yang melaksanakan operasi rutin di Perairan Johor Timur. 

Hasil pemeriksaan kapal tersebut dikendalikan 32 kru dan telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat besi buruk dan telah menjumpai peluru meriam disyaki mempunyai kaitan kes penemuan ‘Unexploded Ordnance’ (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu.  – UTUSAN

Scroll to Top