10 pertukaran memorandum, Malaysia-Indonesia jalin kerjasama sektor pendidikan

10 pertukaran memorandum, Malaysia-Indonesia jalin kerjasama sektor pendidikan

Malaysia menjalin kerjasama dengan Indonesia dalam sektor pendidikan menerusi 10 Sesi Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA), Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) di Jakarta hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sesi tersebut adalah salah satu program utama dalam rangka lawatan kerja beliau selama dua hari ke Indonesia.

Mohamed Khaled ketika di Jakarta

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui agensi dan universiti di Malaysia telah melaksanakan pertukaran empat MoA, lima MoU dan satu MoC dengan agensi dan universiti di Indonesia.

“Fokus utama MoA, MoU dan MoC ini adalah kolaborasi dalam sektor pendidikan khususnya dalam bidang perubatan, sains dan teknologi.
“Bidang pembangunan penyelidikan dan inovasi bukan sahaja akan memberi impak kepada institusi pendidikan tinggi di Malaysia malah bakal memberi manfaat kepada para pelajar di kedua-dua buah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut menyaksikan acara itu adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Education Malaysia Global Services, Dr. Abdul Razak Ahmad dan Direktur Jenderal Pendidikan Tinggi, Riset Teknologi, Kemendikbudristek, Indonesia, Prof Ir. Nizam.

(Dari kiri): Dr. Abdul Razak, Prof Ir. Nizam, Mohamed Khaled dan Prof. Dr. Azlinda Azman

Sesi pertukaran membabitkan ketiga-tiga memorandum berkenaan meliputi agensi, syarikat, universiti daripada kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang yang akan memberikan impak seperti di bawah:

  • MoU antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia
  • MoC antara Majlis Profesor Negara (MPN) dengan Forum Guru Besar Indonesia (FGBI)
  • MoA antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universitas Padjadjaran (UNPAD)
  • MoA antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universiti Pendidikan Indonesia (UPI)
  • MoU antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan PT Tracol Asia
  • MoA antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah Palembang
  • MoA antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel Surabaya
  • MoU antara Universiti Malaya dengan Universitas Negeri Malang (UNM)
  • MoU antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU)
  • MoU antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan Institut Teknologi PLN (IT PLN)

Scroll to Top