10 maut selepas tanah runtuh timbus 2 kereta di Jawa Timur, Indonesia

10 maut selepas tanah runtuh timbus 2 kereta di Jawa Timur, Indonesia
10 maut selepas tanah runtuh timbus 2 kereta di Jawa Timur, Indonesia

Seramai 10 individu dalam dua kereta, maut selepas tanah runtuh menimbus kenderaan itu di Wilayah Jawa Timur, Indonesia. Gambar hiasan

JAKARTA – Seramai 10 individu dalam dua kereta, maut selepas tanah runtuh menimbus kenderaan itu di Wilayah Jawa Timur, Indonesia, kata seorang penyelamat kanan pada Jumaat, menurut laporan Xinhua.

Kejadian berlaku ketika dua kereta itu melalui laluan Pacet-Cangar di Kabupaten Mojokerto pada Khamis, kata Nanang Sigit, ketua pejabat mencari dan menyelamat wilayah.

“Tanah runtuh berlaku di sepanjang sisi laluan, mengenai dua kereta dan menolaknya ke dalam gaung,” katanya kepada Xinhua.

“Salah sebuah kereta ditemui pada kedalaman kira-kira 75 meter dan sebuah lagi pada kedalaman kira-kira 50 meter. Kedua-dua kereta itu tertimbus di bawah tanah sedalam tiga meter,” kata Sigit.

“Kami membawa keluar 10 mayat dari dua kereta itu. Kesemua mayat dibawa ke hospital di Bandar Batu dan hospital berdekatan,” katanya.

Sigit berkata keadaan cuaca ekstrem sebelum dan semasa nahas berlaku.

“Angin kencang dan hujan lebat berlaku beberapa hari sebelum dan semasa tanah runtuh berlaku,” katanya, sambil berkata keadaan tanah di tempat kejadian tidak stabil. – Bernama/Xinhua

Scroll to Top