bhnews@nstp.com.my
ALOR SETAR: Sebanyak 10 sekolah di beberapa daerah di negeri ini ditutup dua hari akibat penularan COVID-19.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad, berkata ketiga-tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma dan SMK Agama Kedah di daerah Kota Setar serta SMK Seri Badong di Kuala Muda, ditutup semalam dan hari ini.
Katanya, tujuh sekolah lain pula ditutup mulai hari ini dan esok.
“Sekolah terbabit ialah SMK St Anne’s Convent, SMK Jelutong, SK Tunku Abdul Malik, SK Sri Kulim dan SMK Sg Kob di Kulim.
“Dua lagi sekolah yang ditutup ialah SK Bukit Kiara dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Choong Hwa di Kuala Muda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rozaini berkata keputusan ini dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Selasa lalu, media melaporkan 12 sekolah ditutup selama beberapa hari sejak dua minggu lalu berikutan terdapat warga sekolah itu dikesan positif COVID-19.
Antara sekolah terbabit ialah SK Taman Uda, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pumpong, SK Dato Wan Mohd Saman dan SK Dato Wan Kemara di Kubang Pasu.
Selain itu, SK Haji Abdul Rahman di Pendang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas; SK Junjong di Kulim serta Maktab Mahmud Baling dan SMK Baling.
© New Straits Times Press (M) Bhd