am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Terkandas lebih 10 jam di Klinik Kesihatan Meranti, Pasir Mas, dekat sini, 50 mangsa banjir yang kesejukan dan kelaparan akhirnya mendapat bantuan sekumpulan sukarelawan.
Kesemua mereka dari beberapa kampung sekitar Meranti dibantu sukarelawan dari dua badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri Kelantan dan Info Semasa Kubang Kerian jam 12.30 tengah malam tadi.
Menurut wakil NGO, Wan Ahmad Ikhwan Wan Aznan, 30, pada mulanya mereka menerima maklumat mengambil seorang wanita warga emas sesak nafas yang berlindung di perkarangan klinik kesihatan itu.
“Dengan menggunakan dua bot, kami bergerak ke lokasi jam 11.30 malam, tetapi disebabkan arus air sangat deras, hanya sebuah bot sahaja dapat ke klinik kesihatan itu manakala sebuah lagi bersedia dia pertengahan jalan.
“Sebaik tiba, kami sangat terperanjat kerana mendapati sangat ramai mangsa banjir yang terkandas di perkarangan klinik kesihatan itu sejak jam 2 petang.
“Mereka ditemui dalam keadaan lemah dan mengadu kelaparan kerana langsung tiada makanan kecuali air mineral sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, ada juga mangsa yang cuba menghubungi saudara mara meminta bantuan namun gagal mencapai akses talian kerana pencawang telekomunikasi mengalami masalah.
“Arus yang deras dan paras air sehingga 1.5 meter (m) juga mungkin menyebabkan tiada pihak yang berani datang membantu.
“Ketika kami tiba, sekitar 50 m sahaja lagi air akan mencecah lantai klinik tempat mangsa berlindung,” katanya.
Wan Ahmad Ikhwan berkata, pihaknya tidak menyediakan makanan kerana tujuan asalnya hanya ingin mengambil wanita warga emas itu sahaja.
Menurutnya, operasi pemindahan terus dijalankan dan memandangkan hanya terdapat sebuah bot, mereka berulang-alik selama enam kali sebelum menaiki sebuah bot lagi dan dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan trak bomba.
“Operasi pemindahan berjalan hampir empat jam dan kesemua mangsa itu mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd